Scholars in a nutshell

This section serves as a guidance for those who want to apply for scholarships especially for SPM leavers (excluding state-funded scholars like FELDA,YT,YS and MAIK because it is state-specific and not open to students from other states/non-FELDA)

PNB
BNM
Khazanah

Petronas
YTN
YTM
UEM
JCORP
Sime Darby

JPA
MARA
YPPB

If you want to know the amount of allowance of each scholarship, you would have to comment or dm on my post in this blog before I give you the access link to it.

Thursday, February 15, 2018

Warkah Dari Seniors (1)


Copy dan paste daripada seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai PTD.
Boleh dijadikan panduan dan tauladan dalam menjadi seorang yang lebih baik.

Pada masa itu memasuki Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) mensyaratkan calon-calonnya memasuki program Kadet PTD selama satu tahun di Institut Tadbiran Awam Negara, Bukit Kiara (INTAN). Peserta yang terpilih ke program Kadet PTD adalah yang telah berjaya melepasi proses peperiksaan dan temuduga. Saya dan 69 calon yang lain mendaftar diri ke program Kadet PTD di INTAN pada 30 November 1991. Program Kadet PTD tersebut diletakkan dibawah kawal selian En. Zakaria Ahmad (Dato’), En. Mahmud Morsidi, En. Mohd Ghazali Idris dan En. Ali Hamsa (Dato’ Sri Dr., kini Ketua Setiausaha Negara).
Sekalung penghargaan dari saya kepada mereka yang banyak berkongsi “wisdom” dan memperkenalkan perkhidmatan awam kepada kami dalam tempoh program tersebut.
Program selama satu tahun itu dengan pengisian pelbagai modul bagi mempersiapkan bakal PTD di alam pekerjaan berakhir pada 28 November 1992. Pada tarikh tersebut kesemua peserta Kadet PTD telah diberikan sijil tamat latihan dan dengan itu ditauliahkan layak untuk memasuki skim PTD. Kumpulan yang dikenali sebagai PTD1992 itu terdiri dari 69 pegawai. Pada mulanya terdapat 70 pegawai, tetapi salah seorang membuat keputusan menarik diri dan menyertai Perkhidmatan Kastam DiRaja Malaysia. Jika tidak silap Mohd Hafiz namanya.
Berbekalkan pentauliahan tersebut, PTD1992 telah dtempatkan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di seluruh Negara. Saya ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Turut ditempatkan bersama saya di situ ialah Namimah Hashim dan Khalid Abdul Hamid (kini Dr.). Saya ditempatkan di Seksyen Ekonomi Wilayah, Khalid Abdul Hamid di Seksyen Tenaga. Saya sudah lupa seksyen di mana Namimah Hashim ditempatkan.
Tahun 90an boleh diimbas sebagai era dimana isu-isu alam sekitar dan pengurusan sumber asli menjadi topik utama bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Pada tahun 1992 Persidangan Bumi atau Rio Summit telah diadakan di Rio de Janeiro, Brazil. Lantaran daripada itu dan komitmen sejagat terhadap pengurusan alam sekitar dan sumber asli, Malaysia tidak ketinggalan dalam menjayakan agenda tersebut bersesuaian dengan komitmen yang telah diberikan oleh kerajaan di Persidangan Bumi di Rio de Janeiro.
Seksyen Ekonomi Wilayah atau SEW telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan komitmen kerajaan di peringkat agensi pusat selain kementerian dan jabatan khusus lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Galian dan Mineral, Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran dan banyak lagi yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan pengurusan alam sekitar dan sumber asli.
Bolehlah dikatakan pada masa itu alam sekitar dan sumber asli merupakan topik hangat dan banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk NGO-NGO yang berprofil tinggi seperti World Wildlife Foundation (WWF), Center for Development and Environmental Management (CETDEM) dan juga Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Kesemua pihak-pihak ini bergabung membentuk kolaborasi strategik dalam menentukan dasar dan hala tuju pengurusan alam sekitar dan sumber asli negara.
Sebagai sebuah negara muda yang masih perlu memacu pertumbuhan dan mencipta kekayaan, mencari keseimbangan diantara pembangunan, alam sekitar dan sumber asli adalah sesuatu yang mencabar. Era 90an juga adalah dekad pertama dalam tempoh 30 tahun matlamat mencapai Wawasan 2020 yang telah ditetapkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 1991. Pada sebahagian dari pada pemain utama pertumbuhan dan pembangunan negara, pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang konsevatif boleh memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan eknonomi negara. Perdebatan mengenai perkara ini adalah sesuatu yang rumit dan kompleks dan mungkin sehingga kini pun masih belum disepakati oleh semua pihak yang terlibat.
Sehingga kepada waktu itu, pengurusan alam sekitar dan sumber asli bolehlah dikatakan bukan “mainstream” walaupun negara telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang berkaitan seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Namun pelaksanaan dan penguatkuasaannya masih dibawah tahap yang diharapkan antara lain disebabkan penekanan yang rendah yang diberikan oleh kerajaan pada masa itu. Kedudukan pengurusan alam sekitar dan sumber asli dalam skop pengurusan negara juga dapat dilihat apabila isu-isu alam sekitar dan pengurusan sumber asli hanya merupakan sebahagian daripada komponen lain di dalam pelan pembangunan lima tahun negara. Tiada bab yang khusus yang diperuntukkan kepadanya.
Pada masa itu dan sesuai dengan kesedaran terhadap alam sekitar yang masih meningkat, Malaysia telah menerima banyak bantuan teknikal, kepakaran, perundingan dan kewangan dari negara-negara maju seperti Jepun (Green Aid Plan), Denmark (DANCED), German dan juga dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti UN, USAID, Islamic Development Bank, World Bank dan Asian Development Bank. Bantuan-bantuan tersebut telah dapat meningkatkan kepakaran dan keupayaan negara dalam pengurusan alam sekitar dan sumber asli secara menyeluruh termasuklah program-program kesedaran dan pembelajaran yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.
Perkembangan tersebut telah meletakkan pengurusan alam sekitar dan sumber manusia ditahap yang paling tinggi berbanding sebelumnya dalam sejarah pengurusan pembangunan negara. Buat pertama kalinya alam sekitar dan sumber asli telah diperuntukkan satu bab khas dalam Rancangan Malaysia ke-Tujuh.
Saya masih ingat iaitu Bab 19 kerana saya turut dipertanggungjawabkan menulis bab tersebut dan menjadikannya “blueprint” pengurusan alam sekitar dan sumber asli negara bagi tempoh 5 tahun berikutnya iaitu 1996 – 2000.
Pada ketika itu, di Unit Perancang Ekonomi belum mempunyai seksyen yang khusus menguruskan alam sekitar dan sumber asli. Tanggungjawab tersebut diletakkan di bawah Seksyen Ekonomi Wilayah yang pada masa itu di ketuai oleh En. Abdul Rahman Jamal, Pengarah PTD Gred M1. Saya diletakkan dibawah unit Analisa Ekonomi Alam Sekitar yang diketuai oleh Puan Lin Mui Kiang yang merupakan bos saya yang pertama dalam perkhidmatan awam. Saya dan Pn. Lin telah melaksanakan apa yang diperlukan dalam merangka pelan pengurusan alam sekitar dan sumber asli Negara bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-Tujuh bersama-sama kementerian, jabatan, agensi dan NGO yang berkaitan.
Modus operandi pembentukan pelan pembangunan di Unit Perancang Ekonomi pada masa itu adalah melalui pendekatan konsultatif dengan semua pihak yang terlibat di dalam dan di luar kerajaan. Setiap sektor perancangan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan dari kalangan kementerian, jabatan dan agensi yag berkaitan. Selain itu akan ditubuhkan juga Jawatankuasa Kerja Teknikal yang memberi fokus kepada aspek-aspek teknikal yang perlu dikaji sebagai input kepada pelan pembangunan sektor yang berkenaan. Bilangan Jawatankuasa Teknikal bergantung kepada isu-isu spesifik yang hendak dperhalusi oleh pakar-pakar berpengalaman dalam bidang masing-masing termasuk dari kalangan warga akademik.
Deraf pelan pembangunan setiap sektor akan dibentang dan dibincangkan kepada pihak pengurusan tertinggi Unit Perancang Ekonomi yang pada masa itu diketuai oleh YBhg. Tan Sri Ali Abul Hassan sebagai Ketua Pengarah. Peringkat seterusnya adalah pembentangan dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang pada ketika itu disandang oleh YBhg. Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid (kini Tun).
Sebelum dibentang dan dibahaskan di parlimen, deraf pelan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapat persetujuan. Jemah Menteri pda ketika itu dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) yang juga Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.
Pada masa itu perkembangan pengurusan alam sekitar dan sumber asli dibantu dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak, telah membuka peluang-peluang baru kepada rakyat Malaysia untuk menceburi bidang pengurusan alam sekitar dan sumber asli. Tidak terkecuali Puan Lin Mui Kiang yang telah mendapat tawaran dari sebuah syarikat antara bangsa untuk mengetuai cawangan perniagaan berkaitan pengurusan alam sekitar di Malaysia. Dengan perletakan jawatan beliau dan tanpa pegawai ganti, tinggalah saya sendirian menguruskan serta menyempurnakan kerja-kerja merangka pelan pengurusan alam sekitar dan sumber asli bagi Rancangan Malaysia ke-Tujuh yang masih belum siap dan belum dibentangkan kepada kerajaan.
Pengalaman “menguruskan sendiri” pelan tersebut memberikan banyak pembelajaran dan pengetahuan serta “wisdom” dalam pentadbiran kerajaan. Dengan ketiadaan penyelia saya berpeluang berinteraksi terus dengan pihak pengurusan tertinggi di Seksyen Ekonomi Wilayah dan Unit Perancang Ekonomi. Sebagai pegawai muda yang baru bertatih dalam selok-belok pengurusan negara peluang tersebut memberikan lonjakan berganda dan membantu saya menjadi cepat dewasa sebagai pegawai awam.
Sehingga kini saya selalu menekankan kepada pegawai-pegawai bawahan saya supaya cepat belajar dan menjadi dewasa sebagai penjawat awam kerana ianya akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan dan jika diizinkan Allah boleh mendaki tangga perkhidmatan dengan lebih cepat.
Justeru setiap pendedahan dan bebanan tugas perlulah dilihat dengan positif sebagai peluang untuk mendewasakan diri sebagai penjawat awam. Adalah sesuatu yang tidak kena sekiranya kedewasaan seseorang penjawat awam tidak berkembang seiring dengan tempoh beliau berada di dalam perkhidmatan awam.
Sepanjang pengalaman, saya telah melihat ramai penjawat-penjawat awam yang hanya dewasa dari segi usia dalam perkhidmatan awam tetapi tidak dewasa dan tidak menunjukkan kematangan dalam keupayaan, sikap, minda dan kecekapan. Kesannya bukan sahaja kepada kemajuan kerjaya mereka tetapi akhirnya kepada kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan kepada rakyat. Penjawat-penjawat awam seperti ini hanya layak diberikan ganjaran gaji tetapi masih belum boleh diberikan tanggungjawab yang lebih mencabar. Ini adalah cabaran yang sentiasa saya tekankan kepada pegawai-pegawai bahawan saya sebagai membakar semangat mereka untuk berlumba-lumba dalam menjadi penjawat awam yang terbaik.
Persoalan akhirnya samada kita diberikan pangkat yang lebih tinggi adalah bersandarkan kepada rezeki yang ditentukan oleh Allah. Walaupun manusia tidak dapat memberikan ganjaran yang setimpal, Allah tetap akan ada ganjaran yang setimpal untuk kita apabila tiba masanya nanti.
Saya meninggalkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 30 Jun 1997 kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang Perancangan Bandar di University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Dokumen Rancangan Malaysia ke-Tujuh, 1996 – 2000 dan khususnya Bab 19 merekodkan sumbangan kecil saya kepada negara yang akan menjadi ingatan dan kenangan abadi. Tempat jatuh lagi dikenang.
Coretan ini adalah dari saya yang masih dalam perjalanan dan berusaha mencari kedewasaan sebagai penjawat awam. Jika diizinkan Allah perjalanan saya sebagai penjawat awam masih panjang dan jauh. Saya juga tidak tahu dimana akhirnya perjalanan ini nanti. Mungkin juga saya akan bercerita lagi pada masa itu.
Sementara tiba di noktah itu iltizam saya adalah untuk membantu mendewasakan pegawai-pegawai di bawah seliaan saya sebagai penjawat awam supaya mereka boleh menjadi lebih baik dari saya pada satu masa nanti.
Apabila tiba masanya saya meninggalkan perkhidmatn awam kelak, yang akan menjadi kebanggaan kepada saya adalah melihat pegawai-pegawai seliaan saya menjadi antara yang terbaik di dalam perkhidmatan awam. Pegawai-pegawai yang hebat ini akan menguruskan kehidupan saya sebagai rakyat biasa pada masa itu.
Sekadar catatan di ulang tahun ke 20 saya sebagai penjawat awam.
 “Ask Not What Your Country Can Give To You. Ask What You Can Give To Your Country.” – John F. Kennedy
Hasnol Zam Zam bin Ahmad, PTD1992

No comments:

Post a Comment